Khamis, 5 November 2009

Ke Arah Melahirkan Guru Pendidikan Islam bertaraf DUNIA.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana telah memberi ruang dan peluang kepada saya, hamba yang hina lagi dhoif ini untuk berkongsi serba sedikit perkara yang berkaitan dengan Pembestarian Pendidikan Islam ini...

Dengan ruang dan peluang ini, serba sedikit saya berhajat untuk melahirkan rasa syukur dan rendah diri kehadrat Allah s.w.t dengan izinnya, InsyaAllah saya serta rakan-rakan daripada mahasiswa dan mahasiswi IPGM KTB berhajat besar untuk melaksanakan suatu lawatan serta diskusi mengenai Pendidikan Islam yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Disember kelak. Segala puji bagi Allah juga kerana segala perancangan dan persiapan yang giat dijalankan masih berjalan lancar walaupun suasana exam yang semakin genting ini. Dengan izin Allah, program yang diberikan tema Ke Arah Melahirkan Guru Pendidikan Islam Bertaraf Dunia ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi bakal guru Pendidikan Islam sendiri.

InsyaAllah sepertimana yang telah dirancang dan diatur oleh pensyarah JPIM sendiri iaitu Dr. Mohd Nazmi Bin Desa, program ini dengan izin Allah akan dimulakan dengan Program Seminar Pemantapan Aqidah yang bakal dijalankan di salah sebuah Institut yang tidak asing lagi di Malaysia ini iaitu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Di sini, mengikut perancangannya semua peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Pendidikan Islam akan " berkampung" selama 5 hari dan 5 malam untuk mendengar dan berdiskusi dalam beberapa seminar yang akan diatur kelak. Antara penceramah dan tetamu-tetamu khas yang diundang untuk memberi ceramah adalah Al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin AL-GHARI,Al-Fadhil Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz, Sheikh Abdul Razak As-Sa'diy dan beberapa orang lagi tokoh yang bakal bersama-sama dengan program ini. Selama program yang mengambil masa 5 hari dan 5 malam ini, marilah kita bersama-sama mengambil peluang untuk berdiskusi dan berdialog bersama kesemua penceramah dan lebih sesuai disebut ulama' ini disebabkan seperti hadis yang berbunyi "Ulama' adalah pewaris para Nabi".

Di samping itu, persediaan-persediaan yang penting sebelum bertemu dengan kekasih-kekasih Allah yang sering berzikir ke atasNya amat diperlukan bagi menjaga keberkatan ilmu yang diperoleh kelak seperti adab menghadiri majlis ilmu dan sebagainya.Dengan kesempatan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada mahasiswa dan mahasiswi khususnya di IPGM Kampus Tuanku Bainun maka marilah kita sama-sama berdoa dan memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Yang Maha Khaliq agar program ini dapat dilaksanakan dan dijalankan dengan sempurna dan mendapat keberkahan daripada Allah s.w.t.

Sebelum "posting" ini ditamatkan marilah kita memahami dan menghayati sepotong sabda Rasulullah SAW yang kita sayangi berbunyi : "aku tinggalkan kamu kepada dua perkara dimana jika kamu berpegang kepada keduanya,kamu tidak akan sesat selamanya,iatulah kitab Allah dan sunnah nabi-Nya"(Malik,t.th :502).
Wallahualam..

Tiada ulasan: