Sabtu, 5 November 2011

REVISION Solat Sunat Hari Raya Qurban

Assalamualaikum wbt..

Daripada A’isyah, Rasulullah bersabda; Maksudnya;
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ”
 (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Alhamdulillah pada entry kali ni mu'allim (tukar gaya bahasa la plak)..erm.. mua'llim ingin berkongsi dengan semua pembaca blog "Cetusan Muallim" ini tentang salah satu daripada hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidiladha..Pada entry kali ni setelah lama menyepi mua'llim ingin berkongsi dengan pembaca bagi mengulangkaji beberapa perkara berkaitan Hari Raya Aidiladha termasuklah kaifiyat Ibadah Solat Sunat Aldiladha. Pada yang baru lagi belajar untuk bersolat seperti adik-adik juga bolehlah berusaha mempelajari tentang ibadah ini dengan membaca penulisan ini dan sekiranya terdapat mana-mana perkara yang sukar atau tidak difahami bolehlah bertanya pada Ustaz atau ibu bapa adik-adik..

Sebelum mu'allim berkongsi tentang beberapa kaifiyat Solat Sunat Aidiladha ini, mua'llim juga mencadangkan agar pembaca dapat membaca dan memahami tentang Sejarah Pensyariatan Perayaan Hari Raya Aidiladha ini di sini

Alhamdulillah sekiranya pembaca sudah memahami dan menghadam sepenuhnya tentang Sejarah Pensyariatan Hari Raya Aidiladha ini maka di sini mu'allim akan kongsikan sedikit panduan ringkas tentang Solat Sunat Aidiladha yang akan dilaksanakan nanti..

Solat Sunat Hari Raya Aidiladha ini dilaksanakan oleh umat Islam dalam kesyukuran menyambut Hari Raya Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah setiap tahun Hijrah..

Waktu untuk mengerjakan Solat Sunat ini adalah setelah matahari terbit sehinggalah tergelincir matahari pada tengahari. Jadi sekiranya terdapat mana-mana masjid atau surau yang melaksanakan Solat Sunat ini terlalu awal (selepas Subuh) @ terlalu lewat (diakhir waktu sebelum Zohor), jangan pula ada yang mengatakan amalan itu bersalahan pula dengan agama. Kebiasaannya Solat Sunat ini dilaksanakan pada jam 8 - 10 pagi di Malaysia.

Bagi hukum untuk mengerjakan Solat Sunat ini pula ialah Sunat Muakkad (Solat Sunat yang sangat dituntut) bagi lelaki dan perempuan, sama ada yang bermukim mahupun musafir..

Takbir Hari Raya AidilAdha disunatkan mulai Malam hari raya (10hb. Zulhijjah ) sehinggalah selepas solat Asar ( 13hb. Zulhijjah )..

Sebaiknya pada pagi Hari Raya ini setelah melaksanakan Solat Fardhu Subuh maka amalkanlah amalan sunat ini iaitu Mandi Sunat Hari Raya.

Setelah tiba di masjid, jangan lupa untuk meneruskan amalan sunat seterusnya iaitu Solat Sunat Tahiyyatul Masjid. Seterusnya, bertakbirlah secara berjamaah di dalam masjid dengan diketuai oleh imam..

Berikut merupakan Kaifiyat atau Kaedah Melaksanakan Solat Sunat Aidiladha yang hampir sama sahaja dengna Solat Sunat Aidilfitri yang disambut baru-baru ini :-


(1) Niat solat:



Lafaz niat. " Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala" ( untuk solat seorang diri ).

" Sahaja aku solat sunat Aidil adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala" (jika ikut imam).

" Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala" ( jika jadi imam).

Niat ini hendaklah dilakukan semasa takbiratul ihram iaitu sekadar lintasan di hati lafaz tersebut. Untuk memudahkan niat, sebelum takbiratul ihram kita hendaklah membuat lintasan terlebih dahulu di dalam hati akan lafaz niat itu.

(2) Membaca Doa Iftitah.

(3) Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.



(4) Membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Al-A'la (boleh digantikan dengan Surah lain yang mampu dibaca).

(5) Rukuk dan sujud seperti biasa.

(6) Iktidal dan berdiri betul ( rakaat kedua ) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.

(7) Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ghasyiyah (boleh digantikan dengan Surah lain yang mampu dibaca).

(8) Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.

(9) Memberi salam.

(10) Disunatkan takbir hari raya sebelum berdoa.



(11) Berdoa

Setelah selesai Solat Sunat, hendaklah sama-sama duduk mendengar khutbah yang dibacakan oleh Khatib. Pada khutbah yang pertama, khatib bertakbir sebanyak 9 kali dan pada khutbah kedua khatib akan bertakbir sebanyak 7 kali..

Alhamdulillah selesai.. setelah itu kebiasaannya masyarakat Islam di Malaysia akan melaksanakan Ibadah Qurban sama ada lembu, kambing mahupun kerbau.. Bagi masjid di tempat mua'llim tinggal insyaAllah ada 3 ekor lembu yang bakal disembelih..jadi sama-sama cuba ambil peranan walaupun tidak dapat bersama-sama melapah daging korban sekurang-kurangnya hadir ke tempat melapah untuk melihat ibadah ini dilaksanakan sambil bertakbir dan bertahmid membesarkan Allah pada hari yang Mulia ini..

InsyaAllah.. :)





p/s: Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha.. 
Hayati Sirah Nabi, Ikut Sunah Nabi , Tanda kita sayang Nabi..

Berkorbanlah Demi ISLAM..

Tiada ulasan: