Selasa, 26 Januari 2010

Cadangan: Wajibkan Subjek Pendidikan Islam dalam UPSR Part III



4.1. Kesan Jangka Pendek
  • Jika diwajibkan kita akan melihat kesan segera atau jangka pendek, pelajar akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mempelajari dan secara tidak langsung dapat menarik minatnya kerana mahu lulus dalam peperiksaan UPSR.
  • Guru-guru pendidikan Islam juga akan bersemangat mengajar dan memberi tumpuan sepenuhnya dan turut bersaing dengan guru mata pelajaran subjek UPSR lain mempertingkatkan subjek masing-masing.
  • Jabatan Pelajaran, Guru Besar dan pentadbiran sekolah akan mengambil perhatian subjek pendidikan Islam sama dalam hal ini. Sesetengah sekolah pada Tahun 6, subjek ini diganti dengan mata pelajaran lain supaya dapat memberi tumpuan kepada akademik semata-mata. Kadangkala guru pendidikan Islam bertolak ansur memandangkan pentingkan peperiksaan UPSR semata-mata.
  • Ibubapa juga sudah pasti akan turut sama memberi perhatian terutama pelajaran agama ini, ibubapa sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan anak-anak dan maruahnya, selama ini ibubapa mengenepikan agama kerana tidak wajib dalam peperiksaan UPSR
4.2. Kesan Jangka Pertengahan
  • Apabila pelajar ini ke sekolah menengah ia akan lebih senang mempelajari kerana tumpuan telah diberi perhatian ketika sekolah rendah. Tajuk pelaaran atau bahagian yang lemah di sekolah rendah dahulu dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.
  • Guru-guru pendidikan Islam di sekolah menengah akan mudah menangani dan mengenalpasti masalah pelajar berdasarkan prestasi dan tahap pencapaian di sekolah rendah.
4.3. Kesan Jangka panjang

  • Melahirkan pelajar yang berakhlak dan mempunyai nilai sahsiah murni kesan penumpuan dari sekolah rendah lagi. Hasil ini dapat mengurangkan masalah sosial dikalangan pelajar remaja peringkat menengah dan universiti.
  • Guru Pendidikan Islam juga dapat merancang dengan bersemangat dan tanggungjawab lebih bermakna; dianggap serampang tiga mata, akademik, agama dan nilai moral
  • Melahirkan generasi cemerlang dalam akademik dan agama. 
Paling minima dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak dan peribadi mulia hasil asas agama ditekan peringkat rendah serta dapat mengurangkan gejala tidak sihat dan masalah sosial dalam masyarakat nanti.Inilah adalah sebahagian sahaja kesan kebaikan yang dapat dinyatakan, jika dikaitkan dalam pembelajaran konsep sekolah bestari, sahsiah akhlak dan moral dititikberatkan, namun pemupukan sewajarnya bermula dari peringkat sekolah rendah dan apabila di peringkat menengah, baru hendak diwajibkan subjek pendidikan Islam adalah terlewat. Wajarlah dari peringkat akar umbi iaitu sekolah rendah amat penting. Namun bagi guru pendidikan Islam akan menghadapi cabaran besar dan masalah jika tidak diwajibkan dalam UPSR menyebabkan guru pendidikan Islam terpaksa berkempen habis-habisan supaya minat belajar agama, menyedarkan murid pentingnya agama. Pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran di ajar termasuk dengan cara teknologi maklumat (ICT) terkini. Sebaliknya dari pihak lain tiada sokongan padu terhadap agama walaupun menyedari kepentingan agama.

Pun begitu ia tidak mematah semangat sama sekali guru-guru pendidikan Islam, malah ia sebagai satu cabaran dan ujian dalam menyampaikan ajaran Islam. Cuma, kadangkala ada sebahagian kecil sahaja dikalangan guru agama tidak bersemangat juang, kerana merka juga manusia biasa ada kelemahan.
Kesan-kesan sampingan, apabila diwajibkan ia akan banyak manfaat dari pelbagai segi kepada pelajar, guru-guru, ibubapa dan masyarakat, pengiktirafan pendidikan agama Islam sama penting dengan mata pelajaran lain.

Bersambung...

*Diterbitkan semula daripada komentar dalam  “BI Wajib SPM: Sediakah kerajaan?.  – (Pengendali Web)
manahdaud69@gmail.com

Sabtu, 23 Januari 2010

Perjalanan lalu sebelum bergelar mua'llim sepenuh masa..Vol 1



Ku mulakan catatanku ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.. Segala puji bagi Allah kerana telah memberiku kesempatan dan ruangan untukku menyertai Program yang dinamakan Daurah Ilmiah ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wacana Pengurusan Dakwah di Singapura dan Diskusi Kitab Tuhfat Al-Nafis di Pulau Bintan, Indonesia. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapaku tercinta Tuan Haji Abdul Halim Bin Bahari dan Puan Hajah Maimunah Binti Mohamad Daud yg banyak memberikan sokongan dan dorongan serta bantuan terutamanya kewangan dan semangat agar diriku ini sentiasa berada di dalam mardhatillah.Tidak lupa juga kepada Al-Fadhil Dr Mohd Nazmi Bin Desa selaku pensyarah yang menjadi tulang belakang kepada program ini juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Program ini yang sudi memberiku peluang dan ruang sebagai Setiausaha Program Daurah Ilmiah yang kukira memberikan 1001 pengalaman sepanjang memegang jawatan ini sehingga tamatnya program ini.

Menjelang Program Daurah Ilmiah yang memulakan tirainya pada 16 Disember yang lalu, saya selaku Setiausaha Program tidak dapat tidak merasakan sedikit bimbang dengan pelbagai cabaran dan ujian yang dihadapi untuk menguruskan program yang hanya mengambil masa tidak lebih 1 bulan sepatutnya memerlukan 3 hingga 4 bulan sebelum program untuk diuruskan dengan lancar. Dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah swt dan berkat doa sahabat, ibu bapa, pensyarah serta muslimin muslimat maka segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan jayanya. Alhamdulillah dengan usaha dan tekad beberapa orang sahabat yang berdekatan dengan kawasan Maktab maka bas milik IPG berjaya diusahakan selepas beberapa kekangan yang berlaku selama ini dapat diatasi dengan izin Allah.

Cuaca redup kepanasan pada 15 Disember 2010 bersamaan 28 Zulhijjah 1430 H seakan-akan memberi ruang dan peluang kepada perjalanan kami, bas pihak IPG KTB bertolak dari IPG KTB dengan membawa segelintir sahabat yang berada di sebelah utara terutamanya Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak menuju ke ILIM yang terletak di Bandar Baru Bangi. Sepertimana yang diketahui ramai, Bangi merupakan salah satu kawasan yang terletak di dalam wilayah Selangor Darul Ehsan. Alhamdulillah dengan beberapa perbincangan dengan beberapa orang sahabat di Perak, kesemua mereka bersetuju untuk menaiki bas IPG KTB dengan menunggu di Hentian atau Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang jalan menuju ke ILIM yang mengambil masa kira-kira 6 jam. Aku mengambil keputusan dengan menunggu di Hentian Sebelah Simpang Pulai yang juga berdekatan dengan kediamanku tercinta, Ipoh. Setelah menunggu selama beberapa ketika, bas IPG KTB tiba di Hentian ini pada pukul 1 tengahari dan terus bergerak menuju Kawasan Rehat dan Rawat di Tapah untuk mengambil dua orang lagi sahabat iaitu Faiz Osman dan Afiqah yang menunggu dengan penuh kesabaran di sana.Setelah tiba di R&R Tapah, kesemua peserta beserta Dr Mohd Nazmi Desa selaku pensyarah pengiring, berhenti beberapa ketika untuk bersolat Jama’ dan Qasar disertai dengan santapan tengahari yang kebiasaannya lebih mahal daripada biasa di kesemua R&R di Malaysia.
Perjalanan diteruskan sehingga tiba di ILIM, Bangi. Keadaan cuaca yang agak redup kepanasan pada mulanya bertukar gelap apabila tiba sahaja di kawasan Selangor. Alhamdulillah walaupun setibanya di ILIM keadaan hujan yang sangat lebat melanda pada pukul 5.30 petang tetapi sambutan yang diterima daripada pihak ILIM amat baik walaupun sebenarnya waktu bekerja adalah sehingga pukul 5 petang kebiasaannya. Hal ini menunjukkan betapa komited dan berdedikasinya pekerja ILIM yang mengamalkan dasar 5S yang dikira mencapai matlamatnya.. Ketibaanku beserta rakan disambut baik dengan pemberian kunci bilik untuk penginapan selama 5 hari dan 4 malam. Ternyata suasana yang ceria dan bersih seperti tergambar selepas melepasi pintu pagar masuk ke kawasan ILIM adalah benar dengan keadaan seakan-akan “hotel” membina semangat dan kesedaran kepadaku betapa pentingnya bersyukur kepada Allah kerana memberiku peluang untuk berada di bumi ILIM ini dengan azam untuk meneguh serta memantapkan aqidahku terhadap agama Islam mengikut aqidah Ahlussunnah waljamaah.

Setelah berehat beberapa ketika, kini tibalah masanya untuk memenuhi keperluan diri untuk mengecas tenaga iaitu dengan mengambil makan malam di Dewan Makan. Keadaan makanan dan suasana di dalam dewan makan di sini sedikit sebanyak menghadirkan kenanganku semasa berada di sekolah asrama beberapa tahun yang lalu. Dalam keadaan suasana dewan makan yang senyap (mungkin lapar sangat) aku dapat berbincang dengan sahabatku, pengerusi program, ‘Afif berkaitan tempat untuk mengadakan taklimat bersama pegawai ILIM.Makluman berkenaan seterusnya disampaikan melalui sahabat kepada sahabat lain yang secara tidak langsung membina sikap prihatin dengan sesuatu perkara..

Pemikiranku ini seterusnya berfikir mengenai status diriku selaku musafir @ tidak kerana pada pemahamanku seseorang yang musafir hanya dibenarkan selama 3 hari dan jika melepasi 3 hari status berkenaan adalah seperti penduduk tempat berkenaan. Maka, aku mengambil keputusan untuk melakukan solat jama’ dan qasar pada waktu maghrib dan jama’ dengan waktu Isya’. Azamku adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada ustaz mengenai kemusykilanku ini nanti.

Tepat pada pukul 9 malam aku telah berada di Dewan Ibnu Rushd, tempat Kursus Pemantapan Aqidah ini akan dijalankan selama 4 hari akan datang. Pemikiranku kini sudah bersedia untuk mendengar taklimat walaupun agak keletihan dengan perjalanan yang agak panjang sebelum ini dengan mengambil masa sehingga 4 jam dari Ipoh lebih-lebih lagi kengkawan yang bertolak daripada IPG pagi tadi. Taklimat ini ditangguhkan sebentar kerana menunggu beberapa orang sahabat muslimat yang dikatakan ‘tersesat’ di bumi ILIM ini. Sememangnya keadaan di bumi ILIM ini agak luas dengan beberapa blok yang ada boleh menyebabkan sesat tambahan pula dalam keadaan letih dan penat untuk mencari tetapi jika peka dengan segala papan tanda yang disediakan maka mudahlah untuk menuju kesesuatu tempat khususnya Dewan ini yang terletak di Tingkat 3 di Bangunan Utama ILIM. Alhamdulillah pada pukul 9.15 malam, kesemua peserta kursus ini telah berada di dalam dewan kursus.

Taklimat berkenaan dimulakan dengan bacaan doa, tayangan video korporat JAKIM, ucapan pensyarah pengiring, Dr Mohd Nazmi Desa dan Ucapan Penyelaras Kursus oleh Ustaz Nik Mohd Sukiman Bin Nik Mohd Yusof. Harapan dan keinginan oleh pihak ILIM melalui Ustaz Sukiman adalah supaya semua peserta kursus selama 5 hari 4 malam ini dapat menimba ilmu terutamanya berkaitan aqidah yang mantap dan teguh, mematuhi segala peraturan am di ILIM serta dapat menjalankan kursus ini dengan selesa dan jayanya. Ucapan pensyarah pengiring, Dr Nazmi juga sedikit sebanyak menyelesaikan kemusykilanku tentang solat jama’ dan qasar serta harapan yang tinggi agar kursus ini dapat berjalan dengan lancar serta mendapat keredhaan Allah.

Bermulalah Kursus Pemantapan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah di ILIM ini dengan hari pertama pada 16 Disember 2009 disampaikan oleh penceramah yang juga merupakan anggota IPTAF @ Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf Malaysia, Tuan Haji Razali Bin Hj Daud dengan tajuk yang sangat bertepatan dan sesuai dengan kursus ini iaitu Menghidupkan Roh Solat. Dengan slot pada hari ini yang sepenuhnya disampaikan oleh Tuan Haji Razali maka beliau mengambil kesempatan untuk menampilkan seorang pemain kompang untuk mengiringi setiap slot iaitu empat slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali dengan nasyid qasidah. Alhamdulillah setiap slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali adalah berkesan dan banyak memberi maklumat serta pengetahuan mengenai roh solat yang sepatutnya diselami oleh setiap insan yang bergelar “muslim”. Bacaan qasidah juga secara tidak langsung memberi penerangan bahawa terdapat pendapat beberapa ulama’ yang menyatakan perkara berkenaan menyalahi agama adalah tidak wajar sama sekali bahkan sebagai muslim kita seharusnya memuliakan penghulu manusia yang paling agung iaitu Nabi Muhammad SAW. Slot yang berakhir pada pukul 10 malam berjalan dengan lancar dan semua sahabat kelihatan memahami segala isi yang ingin disampaikan oleh Tuan Haji Razali.

Antara perkara yang dapat dikongsi bersama ialah mengenai bahagian-bahagian anggota wuduk yang dibasuh sebenarnya mempunyai hikmah tertentu contohnya semasa membasuh tangan seharusnya berniat agar dapat menjauhkan anggota ini daripada melakukan perkara mungkar dan semoga Allah memaafkan kesalahan anggota ini pada masa lalu (niat ini dilalukan dalam hati sebagai simbolik semasa membasuh kedua belah tangan).. Siapalah kita yang boleh mengaku tidak pernah melakukan sesuatu di luar batasan dengan anggota-anggota utama kita seperti tangan, kaki, mata dan lain-lain lagi. Kursus yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali yang berakhir pada pukul 10 malam amat bermakna dengan segala pengisian yang mantap dan sesuai dengan matlamat kursus.. Majlis pemberian sedikit cenderahati kepada Tuan Haji Razali oleh penghulu kursus, Mukmin sebagai menutup tirai kursus pada hari pertama ini. Perjalanan kursus pada hari pertama ini sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan kepadaku khususnya dalam hal solat yang menjadi kewajipan setiap mukmin seperti dalam firman Allah Taala di dalam Surah AlBaqarah ayat 43:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.

Bersambung...

Jumaat, 22 Januari 2010

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah




Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah
i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selasa, 19 Januari 2010

Hadis Pilihan Hari ini..



عَنْ أَبي عَبْدِ الرَّحمنِ عبدِ الله بْنِ عُمَرَ بْنِ الخطابِ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ ا للهِ
صَلَّى اللهُ عَليهِ وَسَلَّمَ یَقُولُ: (( بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شهادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَأَنَّ مُحمدً ا
رَسُولُ الله، وَإِقَامِ الصَّلاةِ، وَإِیْتَاءِ الزَّآَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ.
(رواه البخاري ومسلم)

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab ( رضي الله عنهما ) beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

lslam itu terbina atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.

(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim)

Isnin, 18 Januari 2010

Ayat Al-Quran Pilihan hari ini..


Dan ingatlah, ketika orang-orang kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

                                                                                                                                                 Al Anfal 30

Isu Kalimah Allah - Dr. Siddiq Fadzil

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH:
SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.
Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.
Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:-

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).


Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.
Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi "perkara masa lalu" yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira " uruf ahl al-balad " (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah " mafsadah " atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Isnin, 11 Januari 2010

Perjuangan perlu diteruskan...

Alhamdulillah dengan izin Allah setelah lama x update blog ni tp dengan izinNya diberi kesempatan untuk meng'update'.Pertama sekali marilah kita sama2 bersyukur dengan nikmat Allah yang paling besar iaitu nikmat Iman Dan Islam. Semoga dengannya kita akan sentiasa berada di bawah naungan Yang Maha Khaliq.Setelah menghabiskan masa sewaktu cuti hujung tahun 2009 yang lalu terlalu banyak pengalaman berharga didapati dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan.... antaranya Kem KASEH 2009, dan yang terbaru Daurah Ilmiah....

Syukur dengan izinNya Daurah Ilmiah ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wacana Pengurusan Dakwah Di Singapura dan Diskusi Kitab Tuhfat Al-Nafis berjaya dilaksanakan dengan jayanya.Program yang dilaksanakan lebih kurang 10 hari ini telah banyak memberi pengetahuan, pengalaman dan yang lebih penting lagi dapat bertemu dan berdiskusi dengan ahlul bait daripada keturunan Rasulullah SAW di Singapura. Sepanjang masa 10 hari yang dimulai dengan Kursus Pemantapan Aqidah di ILIM selama 5 hari, seterusnya 2 hari 1 malam di Singapura dan 2 hari di Tanjung Pinang, Indonesia, terlalu banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang masa program ini. Diharapkan agar segala pengalaman yang ditimba sepanjang program ini menjadi titik tolak dalam diriku ini dalam usaha menjadi pendidik yang berilmu pengetahuan luas dalam bidang pendidikan suatu hari nanti...


Ucapan jutaan dan ribuan terima kasih ditujukan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakan Daurah Ilmiah selama 10 hari ini terutamanya Tuan Pengarah IPG KTB, Timbalan Pengarah IPG KTB, KJ JAPIM, pensyarah2 JAPIM terutamanya Dr Mohd Nazmi Desa yang banyak memberikan tunjuk ajar dan pengalaman yang diperlukan oleh bakal guru akan datang, pensyarah2 yang mengikuti program Daurah Ilmiah, pensyarah2 IPG KTB, unit HEP KTB, Unit Kewangan IPG KTB, abang usop dan abang zainal yang sanggup berkorban masa cuti untuk membawa bas, rakan2 seperjuangan, seterusnya sahabat2 perjuangan yang mengikuti Daurah Ilmiah Ke 3 Buah Negara yang InsyaAllah akan menjadi pengalaman hidup paling berharga bagi diriku ini. Ucapan jutaan kemaafan daripada diriku yang lemah lagi faqir ini sepanjang masa bermulanya tugasan selaku setiausaha Program ini sehingga tamatnya Program yang akan disusuli dengan Jamuan Kesyukuran Aktivisma JAPIM yang insyaAllah akan diadakan pada 27 Januari 2010 sempena menandakan kejayaan program ini..

Untuk Majlis Jamuan Kesyukuran Aktivisma JAPIM yang akan diadakan pada 27 Januari 2010 ini semua pihak yang terlibat terutamanya Tuan Pengarah IPG KTB, Timbalan Pengarah IPG KTB, KJ2 IPG KTB, pensyarah yang mengikuti program ini serta semua anak2 JAPIM adalah dijemput untuk meraikan majlis kesyukuran ini..

InsyaAllah dengan izin Allah, program seumpama ini didoakan dapat dilaksanakan lagi pada masa-masa akan datang oleh anak2 JAPIm mahupun sahabat2 daripada IPG di seluruh Malaysia contohnya ke negara Oman, China, atau mengerjakan Umrah ke Baitullah hilharam...

InsyaAllah..Amin Ya Rabbal A'lamin..

Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam 2/275)