Sabtu, 23 Januari 2010

Perjalanan lalu sebelum bergelar mua'llim sepenuh masa..Vol 1



Ku mulakan catatanku ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.. Segala puji bagi Allah kerana telah memberiku kesempatan dan ruangan untukku menyertai Program yang dinamakan Daurah Ilmiah ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wacana Pengurusan Dakwah di Singapura dan Diskusi Kitab Tuhfat Al-Nafis di Pulau Bintan, Indonesia. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapaku tercinta Tuan Haji Abdul Halim Bin Bahari dan Puan Hajah Maimunah Binti Mohamad Daud yg banyak memberikan sokongan dan dorongan serta bantuan terutamanya kewangan dan semangat agar diriku ini sentiasa berada di dalam mardhatillah.Tidak lupa juga kepada Al-Fadhil Dr Mohd Nazmi Bin Desa selaku pensyarah yang menjadi tulang belakang kepada program ini juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Program ini yang sudi memberiku peluang dan ruang sebagai Setiausaha Program Daurah Ilmiah yang kukira memberikan 1001 pengalaman sepanjang memegang jawatan ini sehingga tamatnya program ini.

Menjelang Program Daurah Ilmiah yang memulakan tirainya pada 16 Disember yang lalu, saya selaku Setiausaha Program tidak dapat tidak merasakan sedikit bimbang dengan pelbagai cabaran dan ujian yang dihadapi untuk menguruskan program yang hanya mengambil masa tidak lebih 1 bulan sepatutnya memerlukan 3 hingga 4 bulan sebelum program untuk diuruskan dengan lancar. Dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah swt dan berkat doa sahabat, ibu bapa, pensyarah serta muslimin muslimat maka segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan jayanya. Alhamdulillah dengan usaha dan tekad beberapa orang sahabat yang berdekatan dengan kawasan Maktab maka bas milik IPG berjaya diusahakan selepas beberapa kekangan yang berlaku selama ini dapat diatasi dengan izin Allah.

Cuaca redup kepanasan pada 15 Disember 2010 bersamaan 28 Zulhijjah 1430 H seakan-akan memberi ruang dan peluang kepada perjalanan kami, bas pihak IPG KTB bertolak dari IPG KTB dengan membawa segelintir sahabat yang berada di sebelah utara terutamanya Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak menuju ke ILIM yang terletak di Bandar Baru Bangi. Sepertimana yang diketahui ramai, Bangi merupakan salah satu kawasan yang terletak di dalam wilayah Selangor Darul Ehsan. Alhamdulillah dengan beberapa perbincangan dengan beberapa orang sahabat di Perak, kesemua mereka bersetuju untuk menaiki bas IPG KTB dengan menunggu di Hentian atau Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang jalan menuju ke ILIM yang mengambil masa kira-kira 6 jam. Aku mengambil keputusan dengan menunggu di Hentian Sebelah Simpang Pulai yang juga berdekatan dengan kediamanku tercinta, Ipoh. Setelah menunggu selama beberapa ketika, bas IPG KTB tiba di Hentian ini pada pukul 1 tengahari dan terus bergerak menuju Kawasan Rehat dan Rawat di Tapah untuk mengambil dua orang lagi sahabat iaitu Faiz Osman dan Afiqah yang menunggu dengan penuh kesabaran di sana.Setelah tiba di R&R Tapah, kesemua peserta beserta Dr Mohd Nazmi Desa selaku pensyarah pengiring, berhenti beberapa ketika untuk bersolat Jama’ dan Qasar disertai dengan santapan tengahari yang kebiasaannya lebih mahal daripada biasa di kesemua R&R di Malaysia.
Perjalanan diteruskan sehingga tiba di ILIM, Bangi. Keadaan cuaca yang agak redup kepanasan pada mulanya bertukar gelap apabila tiba sahaja di kawasan Selangor. Alhamdulillah walaupun setibanya di ILIM keadaan hujan yang sangat lebat melanda pada pukul 5.30 petang tetapi sambutan yang diterima daripada pihak ILIM amat baik walaupun sebenarnya waktu bekerja adalah sehingga pukul 5 petang kebiasaannya. Hal ini menunjukkan betapa komited dan berdedikasinya pekerja ILIM yang mengamalkan dasar 5S yang dikira mencapai matlamatnya.. Ketibaanku beserta rakan disambut baik dengan pemberian kunci bilik untuk penginapan selama 5 hari dan 4 malam. Ternyata suasana yang ceria dan bersih seperti tergambar selepas melepasi pintu pagar masuk ke kawasan ILIM adalah benar dengan keadaan seakan-akan “hotel” membina semangat dan kesedaran kepadaku betapa pentingnya bersyukur kepada Allah kerana memberiku peluang untuk berada di bumi ILIM ini dengan azam untuk meneguh serta memantapkan aqidahku terhadap agama Islam mengikut aqidah Ahlussunnah waljamaah.

Setelah berehat beberapa ketika, kini tibalah masanya untuk memenuhi keperluan diri untuk mengecas tenaga iaitu dengan mengambil makan malam di Dewan Makan. Keadaan makanan dan suasana di dalam dewan makan di sini sedikit sebanyak menghadirkan kenanganku semasa berada di sekolah asrama beberapa tahun yang lalu. Dalam keadaan suasana dewan makan yang senyap (mungkin lapar sangat) aku dapat berbincang dengan sahabatku, pengerusi program, ‘Afif berkaitan tempat untuk mengadakan taklimat bersama pegawai ILIM.Makluman berkenaan seterusnya disampaikan melalui sahabat kepada sahabat lain yang secara tidak langsung membina sikap prihatin dengan sesuatu perkara..

Pemikiranku ini seterusnya berfikir mengenai status diriku selaku musafir @ tidak kerana pada pemahamanku seseorang yang musafir hanya dibenarkan selama 3 hari dan jika melepasi 3 hari status berkenaan adalah seperti penduduk tempat berkenaan. Maka, aku mengambil keputusan untuk melakukan solat jama’ dan qasar pada waktu maghrib dan jama’ dengan waktu Isya’. Azamku adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada ustaz mengenai kemusykilanku ini nanti.

Tepat pada pukul 9 malam aku telah berada di Dewan Ibnu Rushd, tempat Kursus Pemantapan Aqidah ini akan dijalankan selama 4 hari akan datang. Pemikiranku kini sudah bersedia untuk mendengar taklimat walaupun agak keletihan dengan perjalanan yang agak panjang sebelum ini dengan mengambil masa sehingga 4 jam dari Ipoh lebih-lebih lagi kengkawan yang bertolak daripada IPG pagi tadi. Taklimat ini ditangguhkan sebentar kerana menunggu beberapa orang sahabat muslimat yang dikatakan ‘tersesat’ di bumi ILIM ini. Sememangnya keadaan di bumi ILIM ini agak luas dengan beberapa blok yang ada boleh menyebabkan sesat tambahan pula dalam keadaan letih dan penat untuk mencari tetapi jika peka dengan segala papan tanda yang disediakan maka mudahlah untuk menuju kesesuatu tempat khususnya Dewan ini yang terletak di Tingkat 3 di Bangunan Utama ILIM. Alhamdulillah pada pukul 9.15 malam, kesemua peserta kursus ini telah berada di dalam dewan kursus.

Taklimat berkenaan dimulakan dengan bacaan doa, tayangan video korporat JAKIM, ucapan pensyarah pengiring, Dr Mohd Nazmi Desa dan Ucapan Penyelaras Kursus oleh Ustaz Nik Mohd Sukiman Bin Nik Mohd Yusof. Harapan dan keinginan oleh pihak ILIM melalui Ustaz Sukiman adalah supaya semua peserta kursus selama 5 hari 4 malam ini dapat menimba ilmu terutamanya berkaitan aqidah yang mantap dan teguh, mematuhi segala peraturan am di ILIM serta dapat menjalankan kursus ini dengan selesa dan jayanya. Ucapan pensyarah pengiring, Dr Nazmi juga sedikit sebanyak menyelesaikan kemusykilanku tentang solat jama’ dan qasar serta harapan yang tinggi agar kursus ini dapat berjalan dengan lancar serta mendapat keredhaan Allah.

Bermulalah Kursus Pemantapan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah di ILIM ini dengan hari pertama pada 16 Disember 2009 disampaikan oleh penceramah yang juga merupakan anggota IPTAF @ Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf Malaysia, Tuan Haji Razali Bin Hj Daud dengan tajuk yang sangat bertepatan dan sesuai dengan kursus ini iaitu Menghidupkan Roh Solat. Dengan slot pada hari ini yang sepenuhnya disampaikan oleh Tuan Haji Razali maka beliau mengambil kesempatan untuk menampilkan seorang pemain kompang untuk mengiringi setiap slot iaitu empat slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali dengan nasyid qasidah. Alhamdulillah setiap slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali adalah berkesan dan banyak memberi maklumat serta pengetahuan mengenai roh solat yang sepatutnya diselami oleh setiap insan yang bergelar “muslim”. Bacaan qasidah juga secara tidak langsung memberi penerangan bahawa terdapat pendapat beberapa ulama’ yang menyatakan perkara berkenaan menyalahi agama adalah tidak wajar sama sekali bahkan sebagai muslim kita seharusnya memuliakan penghulu manusia yang paling agung iaitu Nabi Muhammad SAW. Slot yang berakhir pada pukul 10 malam berjalan dengan lancar dan semua sahabat kelihatan memahami segala isi yang ingin disampaikan oleh Tuan Haji Razali.

Antara perkara yang dapat dikongsi bersama ialah mengenai bahagian-bahagian anggota wuduk yang dibasuh sebenarnya mempunyai hikmah tertentu contohnya semasa membasuh tangan seharusnya berniat agar dapat menjauhkan anggota ini daripada melakukan perkara mungkar dan semoga Allah memaafkan kesalahan anggota ini pada masa lalu (niat ini dilalukan dalam hati sebagai simbolik semasa membasuh kedua belah tangan).. Siapalah kita yang boleh mengaku tidak pernah melakukan sesuatu di luar batasan dengan anggota-anggota utama kita seperti tangan, kaki, mata dan lain-lain lagi. Kursus yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali yang berakhir pada pukul 10 malam amat bermakna dengan segala pengisian yang mantap dan sesuai dengan matlamat kursus.. Majlis pemberian sedikit cenderahati kepada Tuan Haji Razali oleh penghulu kursus, Mukmin sebagai menutup tirai kursus pada hari pertama ini. Perjalanan kursus pada hari pertama ini sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan kepadaku khususnya dalam hal solat yang menjadi kewajipan setiap mukmin seperti dalam firman Allah Taala di dalam Surah AlBaqarah ayat 43:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.

Bersambung...

Tiada ulasan: