Selasa, 22 April 2008

Sudah sampai masanya...


Pendidikan Islam merupakan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat persekolahan. Langkah ini selaras dengan pernyataan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia.

Pendidikan Islam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) merupakan kesinambungan daripada program Pendidikan Islam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). KBSR menekankan kemahiran membaca al-Quran, Asas 'Ulum Syar'iah dan Asas Akhlak Islamiyah sebagai fardu 'ain kepada setiap individu. Dalam KBSM pula, para pelajar ditingkatkan lagi pengetahuan dan penghayatan mereka dalam bidang Tilawah al-Quran, 'Ulum Syari'ah dan Akhlak Islamiyah.

Pendidikan Islam KBSM memberikan penekanan dan tumpuan yang sepenuhnya kepada aspek pengukuhan aqidah Islamiah, pemahaman dan amalan ibadah dalam kehidupan seharian serta asuhan budi pekerti dan akhlak yang mulia.

Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup harian seorang muslim, maka Pendidikan Islam menekankan aspek amalan dan penghayatan.

Penghayatan fardu 'ain yang dipupuk pada peringkat sekolah rendah hendaklah diperkukuh dan dipertingkatkan lagi pada peringkat sekolah menengah. Pelajar akan mengamalkan kewajipan ini sebagai tuntutan asasi dan benteng yang padu bagi menangani arus globalisasi dalam kehidupan seharian.

Bagi memastikan lagi keberkesanan program Pendidikan Islam sekolah menengah ini, orientasi pengajaran dan pembelajarannya hendaklah sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek amalan dalam kehidupan harian. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik juga perlulah ditentaskan supaya wujud kesepaduan daripada pelbagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah. Melalui pendekatan ini, cita-cita untuk melahirkan insan harmonis, seimbang dan bertaqwa akan tercapai.

(Jabatan Pendidikan Islam dan Moral)

Kementerian Pelajaran Malaysia

Maka setelah apa yang diungkapkan di atas pada pendapat saya sudah sampai masanya kerajaan Malaysia mengkaji tentang kemasukan mata pelajaran Pendidikan Islam ke dalam Peperiksaan UPSR. Pada pendapat saya mata pelajaran ini harus diterapkan sebagai salah satu mata pelajaran peperiksaan UPSR. Memang tidak dinafikan bahawa di SK memang terdapat satu ujian amali pendidikan Islam yang meliputi 4 perkara iaitu Ujian Hafazan, Tilawah Al-Quran, Pelajaran Jawi dan Perkara Asas Fardhu ‘Ain (PAFA). Tetapi pada hakikatnya ibu bapa kurang memandang berat mengenai ujian berkenaan kerana merasakan ianya tidak begitu penting.. Mengapa??

Kerana ia tidak diambil kira sebagai salah satu keputusan kemasukan ke sekolah-sekolah yang lebih baik daripada sekolah menengah harian. Terdapat banyak kebaikan yang dapat kita perolehi sekiranya mata pelajaran ini diselarikan di dalam pembelajaran harian antaranya ialah:

1) Ibu bapa akan mula mengambil berat mengenai tahap pembelajaran dan penguasaan agama Islam mereka di sekolah dan di rumah.

2) Kewujudan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam UPSR juga selari dengan Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan yang mana merupakan anutan utama di negara kita.

3) Membina sahsiah terpuji pelajar melalui skop akhlak dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang mana dapat menerapkan nilai-nilai murni dari bangku sekolah rendah lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” .

4) Memudahkan organisasi sesebuah sekolah terutamanya sekolah agama untuk memilih pelajar yang betul-betul cemerlang dari segi akademik, agama dan sahsiah.

Walaupun tidak dinafikan bahawa terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama rakyat (SAR) pada sesi petang tetapi jika dilihat dari persepsi saya bilangan mereka yang menghantar anak mereka ke sekolah agama rakyat (SAR) adalah sangat sedikit bilangannya. Maka, sebagai rakyat Malaysia yang menyayangi generasi akan datang, saya menyokong 100% mengenai kemasukan mata pelajaran Pendidikan Islam ke dalam peperiksaan UPSR dengan harapan agar pembentukan insan Rabbani melalui akar umbi dapat dijalankan dengan lancarnya. Semoga segala usaha kerajaan untuk menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran UPSR mendapat rahmat dan keredhaan daripada pencipta alam ini, Allah…

Tiada ulasan: