Selasa, 26 Januari 2010

Cadangan: Wajibkan Subjek Pendidikan Islam dalam UPSR Part III



4.1. Kesan Jangka Pendek
  • Jika diwajibkan kita akan melihat kesan segera atau jangka pendek, pelajar akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mempelajari dan secara tidak langsung dapat menarik minatnya kerana mahu lulus dalam peperiksaan UPSR.
  • Guru-guru pendidikan Islam juga akan bersemangat mengajar dan memberi tumpuan sepenuhnya dan turut bersaing dengan guru mata pelajaran subjek UPSR lain mempertingkatkan subjek masing-masing.
  • Jabatan Pelajaran, Guru Besar dan pentadbiran sekolah akan mengambil perhatian subjek pendidikan Islam sama dalam hal ini. Sesetengah sekolah pada Tahun 6, subjek ini diganti dengan mata pelajaran lain supaya dapat memberi tumpuan kepada akademik semata-mata. Kadangkala guru pendidikan Islam bertolak ansur memandangkan pentingkan peperiksaan UPSR semata-mata.
  • Ibubapa juga sudah pasti akan turut sama memberi perhatian terutama pelajaran agama ini, ibubapa sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan anak-anak dan maruahnya, selama ini ibubapa mengenepikan agama kerana tidak wajib dalam peperiksaan UPSR
4.2. Kesan Jangka Pertengahan
  • Apabila pelajar ini ke sekolah menengah ia akan lebih senang mempelajari kerana tumpuan telah diberi perhatian ketika sekolah rendah. Tajuk pelaaran atau bahagian yang lemah di sekolah rendah dahulu dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.
  • Guru-guru pendidikan Islam di sekolah menengah akan mudah menangani dan mengenalpasti masalah pelajar berdasarkan prestasi dan tahap pencapaian di sekolah rendah.
4.3. Kesan Jangka panjang

  • Melahirkan pelajar yang berakhlak dan mempunyai nilai sahsiah murni kesan penumpuan dari sekolah rendah lagi. Hasil ini dapat mengurangkan masalah sosial dikalangan pelajar remaja peringkat menengah dan universiti.
  • Guru Pendidikan Islam juga dapat merancang dengan bersemangat dan tanggungjawab lebih bermakna; dianggap serampang tiga mata, akademik, agama dan nilai moral
  • Melahirkan generasi cemerlang dalam akademik dan agama. 
Paling minima dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak dan peribadi mulia hasil asas agama ditekan peringkat rendah serta dapat mengurangkan gejala tidak sihat dan masalah sosial dalam masyarakat nanti.Inilah adalah sebahagian sahaja kesan kebaikan yang dapat dinyatakan, jika dikaitkan dalam pembelajaran konsep sekolah bestari, sahsiah akhlak dan moral dititikberatkan, namun pemupukan sewajarnya bermula dari peringkat sekolah rendah dan apabila di peringkat menengah, baru hendak diwajibkan subjek pendidikan Islam adalah terlewat. Wajarlah dari peringkat akar umbi iaitu sekolah rendah amat penting. Namun bagi guru pendidikan Islam akan menghadapi cabaran besar dan masalah jika tidak diwajibkan dalam UPSR menyebabkan guru pendidikan Islam terpaksa berkempen habis-habisan supaya minat belajar agama, menyedarkan murid pentingnya agama. Pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran di ajar termasuk dengan cara teknologi maklumat (ICT) terkini. Sebaliknya dari pihak lain tiada sokongan padu terhadap agama walaupun menyedari kepentingan agama.

Pun begitu ia tidak mematah semangat sama sekali guru-guru pendidikan Islam, malah ia sebagai satu cabaran dan ujian dalam menyampaikan ajaran Islam. Cuma, kadangkala ada sebahagian kecil sahaja dikalangan guru agama tidak bersemangat juang, kerana merka juga manusia biasa ada kelemahan.
Kesan-kesan sampingan, apabila diwajibkan ia akan banyak manfaat dari pelbagai segi kepada pelajar, guru-guru, ibubapa dan masyarakat, pengiktirafan pendidikan agama Islam sama penting dengan mata pelajaran lain.

Bersambung...

*Diterbitkan semula daripada komentar dalam  “BI Wajib SPM: Sediakah kerajaan?.  – (Pengendali Web)
manahdaud69@gmail.com

Sabtu, 23 Januari 2010

Perjalanan lalu sebelum bergelar mua'llim sepenuh masa..Vol 1



Ku mulakan catatanku ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.. Segala puji bagi Allah kerana telah memberiku kesempatan dan ruangan untukku menyertai Program yang dinamakan Daurah Ilmiah ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wacana Pengurusan Dakwah di Singapura dan Diskusi Kitab Tuhfat Al-Nafis di Pulau Bintan, Indonesia. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapaku tercinta Tuan Haji Abdul Halim Bin Bahari dan Puan Hajah Maimunah Binti Mohamad Daud yg banyak memberikan sokongan dan dorongan serta bantuan terutamanya kewangan dan semangat agar diriku ini sentiasa berada di dalam mardhatillah.Tidak lupa juga kepada Al-Fadhil Dr Mohd Nazmi Bin Desa selaku pensyarah yang menjadi tulang belakang kepada program ini juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Program ini yang sudi memberiku peluang dan ruang sebagai Setiausaha Program Daurah Ilmiah yang kukira memberikan 1001 pengalaman sepanjang memegang jawatan ini sehingga tamatnya program ini.

Menjelang Program Daurah Ilmiah yang memulakan tirainya pada 16 Disember yang lalu, saya selaku Setiausaha Program tidak dapat tidak merasakan sedikit bimbang dengan pelbagai cabaran dan ujian yang dihadapi untuk menguruskan program yang hanya mengambil masa tidak lebih 1 bulan sepatutnya memerlukan 3 hingga 4 bulan sebelum program untuk diuruskan dengan lancar. Dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah swt dan berkat doa sahabat, ibu bapa, pensyarah serta muslimin muslimat maka segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan jayanya. Alhamdulillah dengan usaha dan tekad beberapa orang sahabat yang berdekatan dengan kawasan Maktab maka bas milik IPG berjaya diusahakan selepas beberapa kekangan yang berlaku selama ini dapat diatasi dengan izin Allah.

Cuaca redup kepanasan pada 15 Disember 2010 bersamaan 28 Zulhijjah 1430 H seakan-akan memberi ruang dan peluang kepada perjalanan kami, bas pihak IPG KTB bertolak dari IPG KTB dengan membawa segelintir sahabat yang berada di sebelah utara terutamanya Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak menuju ke ILIM yang terletak di Bandar Baru Bangi. Sepertimana yang diketahui ramai, Bangi merupakan salah satu kawasan yang terletak di dalam wilayah Selangor Darul Ehsan. Alhamdulillah dengan beberapa perbincangan dengan beberapa orang sahabat di Perak, kesemua mereka bersetuju untuk menaiki bas IPG KTB dengan menunggu di Hentian atau Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang jalan menuju ke ILIM yang mengambil masa kira-kira 6 jam. Aku mengambil keputusan dengan menunggu di Hentian Sebelah Simpang Pulai yang juga berdekatan dengan kediamanku tercinta, Ipoh. Setelah menunggu selama beberapa ketika, bas IPG KTB tiba di Hentian ini pada pukul 1 tengahari dan terus bergerak menuju Kawasan Rehat dan Rawat di Tapah untuk mengambil dua orang lagi sahabat iaitu Faiz Osman dan Afiqah yang menunggu dengan penuh kesabaran di sana.Setelah tiba di R&R Tapah, kesemua peserta beserta Dr Mohd Nazmi Desa selaku pensyarah pengiring, berhenti beberapa ketika untuk bersolat Jama’ dan Qasar disertai dengan santapan tengahari yang kebiasaannya lebih mahal daripada biasa di kesemua R&R di Malaysia.
Perjalanan diteruskan sehingga tiba di ILIM, Bangi. Keadaan cuaca yang agak redup kepanasan pada mulanya bertukar gelap apabila tiba sahaja di kawasan Selangor. Alhamdulillah walaupun setibanya di ILIM keadaan hujan yang sangat lebat melanda pada pukul 5.30 petang tetapi sambutan yang diterima daripada pihak ILIM amat baik walaupun sebenarnya waktu bekerja adalah sehingga pukul 5 petang kebiasaannya. Hal ini menunjukkan betapa komited dan berdedikasinya pekerja ILIM yang mengamalkan dasar 5S yang dikira mencapai matlamatnya.. Ketibaanku beserta rakan disambut baik dengan pemberian kunci bilik untuk penginapan selama 5 hari dan 4 malam. Ternyata suasana yang ceria dan bersih seperti tergambar selepas melepasi pintu pagar masuk ke kawasan ILIM adalah benar dengan keadaan seakan-akan “hotel” membina semangat dan kesedaran kepadaku betapa pentingnya bersyukur kepada Allah kerana memberiku peluang untuk berada di bumi ILIM ini dengan azam untuk meneguh serta memantapkan aqidahku terhadap agama Islam mengikut aqidah Ahlussunnah waljamaah.

Setelah berehat beberapa ketika, kini tibalah masanya untuk memenuhi keperluan diri untuk mengecas tenaga iaitu dengan mengambil makan malam di Dewan Makan. Keadaan makanan dan suasana di dalam dewan makan di sini sedikit sebanyak menghadirkan kenanganku semasa berada di sekolah asrama beberapa tahun yang lalu. Dalam keadaan suasana dewan makan yang senyap (mungkin lapar sangat) aku dapat berbincang dengan sahabatku, pengerusi program, ‘Afif berkaitan tempat untuk mengadakan taklimat bersama pegawai ILIM.Makluman berkenaan seterusnya disampaikan melalui sahabat kepada sahabat lain yang secara tidak langsung membina sikap prihatin dengan sesuatu perkara..

Pemikiranku ini seterusnya berfikir mengenai status diriku selaku musafir @ tidak kerana pada pemahamanku seseorang yang musafir hanya dibenarkan selama 3 hari dan jika melepasi 3 hari status berkenaan adalah seperti penduduk tempat berkenaan. Maka, aku mengambil keputusan untuk melakukan solat jama’ dan qasar pada waktu maghrib dan jama’ dengan waktu Isya’. Azamku adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada ustaz mengenai kemusykilanku ini nanti.

Tepat pada pukul 9 malam aku telah berada di Dewan Ibnu Rushd, tempat Kursus Pemantapan Aqidah ini akan dijalankan selama 4 hari akan datang. Pemikiranku kini sudah bersedia untuk mendengar taklimat walaupun agak keletihan dengan perjalanan yang agak panjang sebelum ini dengan mengambil masa sehingga 4 jam dari Ipoh lebih-lebih lagi kengkawan yang bertolak daripada IPG pagi tadi. Taklimat ini ditangguhkan sebentar kerana menunggu beberapa orang sahabat muslimat yang dikatakan ‘tersesat’ di bumi ILIM ini. Sememangnya keadaan di bumi ILIM ini agak luas dengan beberapa blok yang ada boleh menyebabkan sesat tambahan pula dalam keadaan letih dan penat untuk mencari tetapi jika peka dengan segala papan tanda yang disediakan maka mudahlah untuk menuju kesesuatu tempat khususnya Dewan ini yang terletak di Tingkat 3 di Bangunan Utama ILIM. Alhamdulillah pada pukul 9.15 malam, kesemua peserta kursus ini telah berada di dalam dewan kursus.

Taklimat berkenaan dimulakan dengan bacaan doa, tayangan video korporat JAKIM, ucapan pensyarah pengiring, Dr Mohd Nazmi Desa dan Ucapan Penyelaras Kursus oleh Ustaz Nik Mohd Sukiman Bin Nik Mohd Yusof. Harapan dan keinginan oleh pihak ILIM melalui Ustaz Sukiman adalah supaya semua peserta kursus selama 5 hari 4 malam ini dapat menimba ilmu terutamanya berkaitan aqidah yang mantap dan teguh, mematuhi segala peraturan am di ILIM serta dapat menjalankan kursus ini dengan selesa dan jayanya. Ucapan pensyarah pengiring, Dr Nazmi juga sedikit sebanyak menyelesaikan kemusykilanku tentang solat jama’ dan qasar serta harapan yang tinggi agar kursus ini dapat berjalan dengan lancar serta mendapat keredhaan Allah.

Bermulalah Kursus Pemantapan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah di ILIM ini dengan hari pertama pada 16 Disember 2009 disampaikan oleh penceramah yang juga merupakan anggota IPTAF @ Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf Malaysia, Tuan Haji Razali Bin Hj Daud dengan tajuk yang sangat bertepatan dan sesuai dengan kursus ini iaitu Menghidupkan Roh Solat. Dengan slot pada hari ini yang sepenuhnya disampaikan oleh Tuan Haji Razali maka beliau mengambil kesempatan untuk menampilkan seorang pemain kompang untuk mengiringi setiap slot iaitu empat slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali dengan nasyid qasidah. Alhamdulillah setiap slot yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali adalah berkesan dan banyak memberi maklumat serta pengetahuan mengenai roh solat yang sepatutnya diselami oleh setiap insan yang bergelar “muslim”. Bacaan qasidah juga secara tidak langsung memberi penerangan bahawa terdapat pendapat beberapa ulama’ yang menyatakan perkara berkenaan menyalahi agama adalah tidak wajar sama sekali bahkan sebagai muslim kita seharusnya memuliakan penghulu manusia yang paling agung iaitu Nabi Muhammad SAW. Slot yang berakhir pada pukul 10 malam berjalan dengan lancar dan semua sahabat kelihatan memahami segala isi yang ingin disampaikan oleh Tuan Haji Razali.

Antara perkara yang dapat dikongsi bersama ialah mengenai bahagian-bahagian anggota wuduk yang dibasuh sebenarnya mempunyai hikmah tertentu contohnya semasa membasuh tangan seharusnya berniat agar dapat menjauhkan anggota ini daripada melakukan perkara mungkar dan semoga Allah memaafkan kesalahan anggota ini pada masa lalu (niat ini dilalukan dalam hati sebagai simbolik semasa membasuh kedua belah tangan).. Siapalah kita yang boleh mengaku tidak pernah melakukan sesuatu di luar batasan dengan anggota-anggota utama kita seperti tangan, kaki, mata dan lain-lain lagi. Kursus yang dikendalikan oleh Tuan Haji Razali yang berakhir pada pukul 10 malam amat bermakna dengan segala pengisian yang mantap dan sesuai dengan matlamat kursus.. Majlis pemberian sedikit cenderahati kepada Tuan Haji Razali oleh penghulu kursus, Mukmin sebagai menutup tirai kursus pada hari pertama ini. Perjalanan kursus pada hari pertama ini sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan kepadaku khususnya dalam hal solat yang menjadi kewajipan setiap mukmin seperti dalam firman Allah Taala di dalam Surah AlBaqarah ayat 43:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.

Bersambung...

Jumaat, 22 Januari 2010

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah




Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah
i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.