Khamis, 5 November 2009

Cadangan: Wajibkan Subjek Pendidikan Islam dalam UPSR Part II

3. Perkara Asas Fardu Ain (PAFA)

Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) yang dilaksanakan hari ini adalah amat baik, namun ujiannya dan pelaksanaan adalah terlalu longgar. Ini disebabkan ujian dijalankan oleh guru pendidikan Islam sekolah itu sendiri. Contoh, tenaga ujian PAFA adalah guru kelas sendiri atau guru sekolah terbabit. Bagaimana keesahan, kebolehtadbiran dan berkaitannya masih diragui.Jika kita merujuk sistem pentaksiran, pengukuran dan penilaian dalam peperiksaan, ia jauh tidak menepati kehendak Majlis Peperiksaan sebenar.

LULUS atau GAGAL ujian PAFA dalam UPSR akan dicatat dalam slip keputusan peperiksaan UPSR. Adakah wajar syarat ujian dikehendaki lulus 100 % dan murid diwajibkan LULUS walau pun ada yang lemah? Jika GAGAL wajib pula bersebab, contoh ada surat pengesahan doktor menyatakan sakit kronik dan sebagainya. Jika tidak alasan yang kukuh, hendaklah LULUS 100% walau pun ada murid yang gagal (lemah). Jika dibuat keputusan GAGAL tanpa sebab dan alasan, sudah pasti guru pendidikan Islam dan Guru Besar pula kena bagi tunjuk sebab mengapa ia berlaku. Untuk menyenangkan proses pengurusan peperiksaan dan permudah segala keadaan perkataan ‘LULUS’ adalah jalan selamat.

Jika PAFA ini sudah jadi bukti dan alasan mencukupi untuk mengganti peperiksaan dalam UPSR, ia perlu dibuat beberapa perubahan dan syarat untuk keesahannya. Antara paling minima yang dicadangkan ialah lulus dengan cemerlang, lulus dengan kepujian dan lulus sahaja.

Ujian hendaklah secara sistematik dan diuruskan oleh Unit Peperiksaan memantau dan menyelianya, tidak semata-mata menaruh kepercayaan guru dan sekolah terbabit sahaja. Contoh, guru yang dilantik khas membuat ujian dan sebagainya.

Bersambung akan datang..

*Diterbitkan semula daripada komentar dalam “BI Wajib SPM: Sediakah kerajaan?. – (Pengendali Web)

Jumaat, 30 Oktober 2009

Cadangan: Wajibkan Subjek Pendidikan Islam dalam UPSR

Oleh: manahdaud

Muqadimmah

Ini merupakan cadangan dan pandangan saya sebagai seorang guru pendidikan Islam yang terlatih dan telah berkhidmat selama 13 tahun di sekolah rendah dan berpengalaman mengajar subjek ini, terutama pelajar Tahun 6 yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Walaupun tanpa kajian dan penyelidikan yang sebenarnya, namun berdasarkan soal selidik secara rambang hampir keseluruhan guru-guru pendidikan Islam, guru-guru biasa, ibu bapa dan ahli-ahli akademik lain memberi respon positif cadangan ini. Bagi guru-guru pendidikan Islam pula, tanpa kajian pun jika diwajibkan nanti, saya percaya bahawa guru-guru akan sentiasa mengikut arahan Kementerian Pelajaran jika sesuatu perkara mendatangkan kebaikan kepada semua pihak terutama agama, bangsa dan negaranya.

Cadangan ini sudah lama difikirkan, namun ia adalah sekadar idea dari seorang guru biasa yang tidak mempunyai kuasa atau pengaruh . Justeru itu, bagaimana pula pandangan tokoh-tokoh akademik dan pihak yang bertanggungjawab dari Kementerian Pelajaran mengenai cadangan ini. Oleh kerana cadangan ini berhubung dengan keagamaan, mohon juga respon dan keperihatinan daripada ulama-ulama dan tokoh-tokoh keagamaan negara kita.

Cadangan ini nampak kecil namun harapan akan berlaku perubahan besar nanti demi memperkasakan Pendidikan Islam dan kecemerlangan syiar Islam di negara kita.
Guru Pendidikan Islam
Kuala Lumpur
2009

1. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
Pada Tahun 6, pelajar akan menduduki peperiksaan UPSR ini bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Kefahaman), Matematik dan Bahasa Inggeris. Lima subjek utama diberi perhatian sepenuhnya.
Bagaimanapun subjek Pendidikan Islam tidak diwajibkan peperiksaan tersebut. Oleh yang demikian dicadangkan agar ia diwajibkan dalam peperiksaan UPSR kerana ia amat penting terhadap pelajar sendiri dan menilai sejauhmanakah keberkesanan kurikulum pendidikan Islam. Seterusnya mencapai kecemerlangan pendidikan ke arah pembangunan rohani dan sumber manusia dan merealisasikan impian negara berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dan Matlamat Kementerian Pelajaran sendiri.
…..secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani….
Petikan teks Falsafah Pendidikan Negara
Antara matlamat Kementerian Pelajaran ialah melahirkan insan yang beriman , berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
Kefahaman isi kandungan falsafah dan matlamat inilah faktor utama dicadangkan Pendidikan Islam diwajibkan dalam peperiksaan UPSR. Sesungguhnya nilai dan nadi sahsiah akhlak seseorang itu digilap dan diproses melalui saripati agama Islam. Proses pengajaran dan pembelajaran yang diakhiri peperiksaan adalah suatu kaedah umum yang dapat diterima untuk mengukur dan menilai seseorang itu.


2. Mengapa perlu diwajibkan?
Pendidikan Islam sepatutnya diwajibkan dalam peperiksaan UPSR, adalah sesuatu yang aneh wajib belajar tetapi tidak diwajibkan dalam peperiksaan penting UPSR. Keputusan ujian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) yang dimasukkan dalam UPSR dengan catatan ‘lulus ujian lisan dan amali’ bukanlah ukuran dan nilai yang tepat, malah perlaksanaannya adalah terlalu longgar dan ia perlu dikaji semula.
Subjek pendidikan Islam adalah serampang pelbagai mata dari segi akademik dan agama. Di dalamnya mempunyai unsur nilai-nilai murni dan moral yang tinggi dalam membentuk akhlak dan sahsiah pelajar, malah asas agama seperti akidah, ibadat, sirah dan fardu ain mencakupi ilmu manfaat dunia dan bertalian hingga ke akhirat.
Alasan mereka yang berpandangan bahawa Pendidikan Islam sudah diwajibkan peperiksaan di sekolah menengah, alasan ini sudah terlambat untuk merubah keperibadian pelajar. Pepatah melayu kalau hendak melentur buluh biarlah ketika rebungnya, sudah cukup bagi mereka yang benar-benar memahaminya. Jika kita merujuk kepada sumber Al-Quran dan As-Sunnah ia menjadi semakin benar dan jelas, bahawa akhlak, nilai murni perlu dipupuk dari awal untuk mengukur tahap pencapaiannya. Ini kerana subjek Pendidikan Islam secara tidak langsung dapat membentuk nilai murni seseorang.
Untuk membentuk nilai murni ia wajib melalui proses ujian peperiksaan sebagai ukuran awal. Jika mengharap nilai akhlak murni sahaja tanpa diwajibkan subjek pendidikan agama (mengandungi nilai murni) ia akan menjadi sukar atau sia-sia. Apatah lagi peringkat rendah, ia tidak boleh berdikari sendiri dan rasa tanggungjawab terhadap agama dan bangsa.
Kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tinggi sebagai hujjah , ….keterampilan diri selepas sekolah menengah dan ijazah, cari bidang pekerjaan, buka terletak sehelai ijazah. Oleh yang demikian pemupukan seharus berlaku dibangku sekolah rendah amat wajar dititiberatkan segera.
Ekoran tidak diwajibkan dalam peperiksaan, pengabaian yang dianggap kecil ia telah menyumbang timbulnya pelbagai masalah dan disiplin dikalangan remaja sekolah dan masalah sosial nanti.

Bersambung akan datang...

*Diterbitkan semula daripada komentar dalam “BI Wajib SPM: Sediakah kerajaan?. – (Pengendali Web)

Selasa, 8 September 2009

Petua Buka Puasa


oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Berdasarkan pengalaman Ramadan lalu, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kalau turun pun, biasanya berat badan bertambah semula dengan cepat, khususnya pada minggu pertama raya.

Bahkan ada yang mengadu berat badan bertambah sehingga 3 kilogram dalam masa tidak sampai 2 minggu selepas Hari Raya pertama! Tidak kurang juga yang berat badannya makin bertambah walaupun berpuasa sebulan.



Kedua-dua senario di atas adalah perkara biasa yang disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadhan.

Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, bulan puasa masa paling sesuai untuk memulakan usaha ini kerana Ramadhan memberi peluang kita melakukan 'pembersihan badan' secara menyeluruh.

Mudah, Tapi Banyak Godaan

Langkah perlu dilakukan cukup mudah, iaitu hanya dengan menjaga pemakanan, melebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum banyak air — sekurang-kurangnya satu liter sehari, khususnya air masak.

Namun, bukan mudah untuk minum air sebanyak itu pada waktu malam kerana menyebabkan seseorang kerap ke tandas, tetapi ia perlu dilakukan bagi melancarkan sistem badan dan mengelak masalah ketika berpuasa.

Malah, untuk mengamalkan tabiat pemakanan sihat juga sebenarnya lebih mudah disebut daripada dilaksana, tambahan pula pada Ramadhan biasanya muncul beraneka jenis makanan yang jarang ditemui pada bulan lain.

Selain itu, kemunculan ramai peniaga sambilan yang kreatif menyukarkan lagi usaha ini kerana hati mana tidak tergoda melihat kepelbagaian lauk-pauk untuk berbuka, apatah lagi jika cara masakannya memenuhi selera kita.

Harus diingat bahawa Ramadhan sebenarnya bulan mendidik hati dan diri untuk bersabar serta lebih berdisiplin, terutama apabila menghadapi makanan. Masalahnya, ramai 'terlupa' dan kalau boleh mahu mencuba semua jenis makanan ketika berbuka, sedangkan kita mempunyai 30 hari puasa.

Perkara ini menyebabkan kita terdorong untuk mengambil makanan yang tidak diperlukan dan biasanya ia berakhir dengan pembaziran.

Minum Air Secukupnya

Cara terbaik untuk berbuka ialah memulakan dengan hidangan ringan seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW iaitu kurma dan air.

Minuman terbaik ialah air masak. Boleh berbuka dengan air manis tetapi jangan minum terlalu banyak kerana kemanisan itu menyebabkan kita cepat letih ketika berpuasa.

Lebih banyak minum air masak, lebih baik. Untuk bulan puasa, saranan minum air 7 hingga 8 gelas air sehari (termasuk air manis, kopi dan teh) sebenarnya masih tidak mencukupi kerana kopi dan teh mempunyai kesan diuretik yang akan membuatkan kita kencing lebih banyak.

Tidak mahu kerap ke tandas pada waktu malam dan berasa perut 'terlalu penuh' menyebabkan ramai tidak minum air secukupnya. Namun tahukah anda, keletihan dan sakit kepala yang dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan sebenarnya disebabkan kekurangan air dalam badan.

Kawalan Lebih Baik

Puasa diakui secara saintifik sebagai satu cara untuk mengekal dan meningkatkan tahap kesihatan. Banyak kajian menunjukkan kawalan gula rata-rata pesakit kencing manis adalah lebih baik pada Ramadhan berbanding bulan lain.

Begitu juga masalah tekanan darah tinggi, kolesterol dan obesiti. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan ialah :

# Keletihan
# Pening
# Sakit kepala
# Sembelit
# Penghadaman terganggu
# Paras gula rendah
# Kejang otot
# Ulser peptik
# Pedih ulu hati
# Gastrik
# Mudah jatuh sakit
# Berat badan menurun
# Berat badan bertambah

Semua masalah yang disenarai di atas boleh diatasi dengan menjaga pemakanan. Pemakanan pada bulan puasa sama seperti hari tidak berpuasa, bezanya cuma waktu makan.

Lebih ringkas, lebih baik kerana selain memenuhi tuntutan agama dan menimbulkan keinsafan, puasa menjadi jalan mudah mengekalkan kesihatan. Justeru, berat badan kita patut kekal sepanjang berpuasa.

Menurunkan Berat Badan

Bagi yang ingin menurunkan berat badan, ini adalah waktu terbaik. Malah, usaha menurunkan berat badan lebih mudah pada bulan puasa kerana ketika kita kurang makan, kita masih menggunakan jumlah tenaga sama.

Kesan dapat dilihat lebih jelas jika kita turut melakukan senaman ringan seperti berjalan cepat sekurang-kurangnya selama 20 hingga 30 minit setiap hari. Ini kerana lemak adalah sumber tenaga yang paling sukar digunakan.

Lemak dalam simpanan hanya ditukar ke bentuk tenaga apabila kita melakukan aktiviti cergas yang membuat degupan jantung mencecah kadar degupan sasaran atau sehingga kita terasa mengah tetapi masih boleh bercakap. Ini dapat dilakukan apabila kita bersenam selama 20 hingga 30 minit.

Lanjutkan senaman anda pada waktu malam dengan solat tarawih kerana ada kajian mendapati solat terawih boleh membakar sehingga 200 kalori. Ini bersamaan dengan berjalan cepat atau menari selama 30 minit! Jadi anda mendapat 2 manfaat pada satu masa.

Walaupun ramai memberi alasan penat, bersenam ketika puasa boleh meningkatkan tenaga dan membuatkan badan lebih segar. Yang penting, ia dilakukan secara bersederhana, dilakukan dalam cuaca yang tidak terlalu panas dan berhenti apabila terasa penat.

Ia juga membantu memudahkan pesakit mengawal penyakit mereka, meningkatkan keseimbangan, menguatkan tulang, menyingkir toksik dari badan, meningkatkan sistem imun, menambah keanjalan otot dan lebih menarik, ia dapat memperbaiki bentuk badan.

Pilihan Makan Ketika Berbuka dan Sahur

Cara disarankan ialah memulakan berbuka dengan sajian ringan. Memadai berbuka dengan kurma, air, bijirin atau roti mil penuh. Hanya selepas solat Maghrib baru makan sajian lebih berat mengandungi sumber karbohidrat, protein dan serat.

Bagi yang mahu makan selepas solat tarawih, pilih makanan ringan seperti buah-buahan. Kita sepatutnya memberi 'badan' rehat daripada makanan sebelum tidur untuk mengelak makanan tidak sempat dihadam.

Sepatutnya sajian paling berat diambil ketika sahur. Usah tinggalkan sahur kerana sahur mempunyai banyak hikmatnya. Sahur bermakna hari baru sudah bermula. Ini sebabnya kita digalak melewatkan sahur dan jangan sambung tidur selepas makan.

Minum air sebanyak mungkin bermula daripada berbuka hinggalah bersahur. Jenis air termasuk sup, jus buah, minuman manis, kopi, teh dan air kosong.

Namun lebih baik jika melebihkan minum air kosong. Kalau mahu jus buah, pilih jus rendah gula atau buat sendiri. Elak minum jus buah daripada kordial kerana ia mengandungi banyak gula. Antara cara lain ialah bawa air diminum antara solat.

Jenis makanan yang perlu dielak? Makanan berlemak, berminyak dan bersantan. Ini termasuk kuih muih yang tinggi kandungan kalorinya. Kurangkan makanan bergoreng kerana ia boleh meningkatkan selera dan menyebabkan kita makan lebih banyak.

Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga hancur baru ditelan. Jika kita makan atau minum terlalu cepat, kita sebenarnya memasukkan banyak udara ke dalam badan yang menyebabkan masalah perut berangin. Selain itu elak minum minuman berkarbonat ketika berbuka kerana ia juga menyebabkan masalah ini.

Bagi individu yang mahu menguruskan badan, kurangkan makan kuih muih pada bulan puasa. Sentiasa cuba kurangkan pengambilan makanan, sama ada ketika berbuka atau sahur. Jika anda sukar menahan keinginan, belajar menolak apabila dipelawa berbuka secara bufet.

Biasanya pada penghujung Ramadan, ramai kurang berselera makan dan tidak banyak minum air. Ini menyebabkan berat badan mereka menurun.

Namun jangan salah sangka, berat yang hilang sebenarnya berat air dan ia akan kembali apabila kita mula makan seperti biasa ketika hari raya. Ini sebabnya ada yang mengadu berat badan mereka bertambah 2-3 kilogram pada minggu pertama Syawal.

Penurunan berat badan ideal ialah setengah kilogram seminggu atau 2 kilogram sebulan. Walaupun tidak menyarankan pengambilan buah-buahan sebagai sajian pertama ketika berbuka, ia boleh dilakukan bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan kerana kandungan serat dalam buah membuatkan seseorang cepat kenyang. Melalui cara ini individu itu terhindar daripada makan makanan lain secara berlebihan.

Bagi yang berasa tidak sihat dan tidak berselera sepanjang Ramadan, adalah disarankan supaya mengambil makanan tambahan untuk mengelak masalah kekurangan zat dan keletihan melampau.

Makanan tambahan ini boleh diambil pada bila-bila masa, sama ada ketika berbuka atau sahur mengikut keselesaan masing-masing.